HARTA BEKU: Apabila Kasih Sayang Bertukar Menjadi Pertikaian

HARTA BEKU: Apabila Kasih Sayang Bertukar Menjadi Pertikaian

Categories: PlanningPublished On: August 24, 20267 min read
Firdaus Ali Mokhtar
SHARE

Suatu pagi, seorang balu hadir ke pejabat kami bersama tiga orang anaknya. Wajah mereka jelas menunjukkan keletihan. Sudah hampir dua tahun suaminya meninggal dunia, namun sebuah rumah yang didiami sejak sekian lama masih belum dapat dipindah milik. Wang simpanan di bank pula tidak boleh dikeluarkan. Sebuah kereta yang masih mempunyai baki pinjaman akhirnya ditarik oleh pihak bank kerana tiada siapa yang mempunyai kuasa untuk menguruskannya.

Lebih menyedihkan, anak-anak yang sebelum ini hidup rukun mula berselisih faham mengenai siapa yang sepatutnya menjadi pentadbir pusaka. Masing-masing menyangka tugas itu boleh dilakukan oleh orang lain. Akhirnya, tiada siapa yang mengambil langkah pertama.

Hakikatnya, situasi seperti ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ia berlaku hampir setiap hari di Malaysia.

Ramai rakyat Malaysia bekerja keras sepanjang hayat untuk memiliki rumah, tanah, wang simpanan, pelaburan, emas, kenderaan dan pelbagai aset lain. Namun, dalam kesibukan membina kekayaan, ramai terlupa membuat satu persediaan yang jauh lebih penting iaitu memastikan harta tersebut dapat diuruskan apabila mereka sudah tiada.

Inilah yang akhirnya membawa kepada masalah harta beku dan harta yang tidak ditadbir.

Harta beku ialah harta milik seseorang yang telah meninggal dunia tetapi tidak dapat dipindah milik atau diagihkan kepada waris kerana proses pentadbiran pusaka belum dimulakan atau belum diselesaikan. Selagi tiada wakil yang sah dilantik, aset seperti akaun bank, hartanah, saham dan pelaburan akan terus “terkunci” daripada digunakan oleh waris.

Persoalannya, mengapa keadaan ini masih berlaku?

Pengalaman menguruskan pelbagai kes pusaka menunjukkan bahawa punca terbesar bukanlah undang-undang yang rumit, tetapi sikap kita sendiri.

Masih ramai beranggapan bahawa perancangan harta hanyalah untuk golongan berada. Sedangkan sesiapa sahaja yang mempunyai rumah, kereta, simpanan atau polisi takaful sebenarnya memerlukan perancangan. Tanpa dokumen seperti wasiat, hibah atau amanah yang sesuai, proses pentadbiran lazimnya menjadi lebih panjang dan kompleks.

Dalam banyak keadaan juga, tiada seorang pun waris benar-benar bersedia menjadi pentadbir pusaka. Ada yang sibuk bekerja, ada yang tinggal berjauhan, malah ada yang tidak mengetahui langsung proses mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet. Akhirnya, semua saling menunggu sehingga bertahun-tahun tanpa sebarang tindakan.

Ada pula yang menangguhkan urusan kerana menyangka kos pentadbiran terlalu tinggi. Ironinya, semakin lama sesuatu pusaka dibiarkan, semakin tinggi pula kos yang mungkin terpaksa ditanggung. Pertikaian keluarga, perubahan nilai aset dan pelbagai isu undang-undang sering menjadikan penyelesaiannya jauh lebih sukar berbanding jika tindakan diambil lebih awal.

Apabila harta tidak ditadbir, kesannya bukan sekadar melibatkan keluarga si mati.

Ada waris yang gagal meneruskan persekolahan kerana wang simpanan ibu bapa tidak boleh dikeluarkan. Ada rumah yang dibiarkan kosong sehingga rosak dimakan usia. Tanah yang berpotensi dibangunkan terus terbiar kerana pemilik berdaftar telah meninggal dunia. Malah, pembangunan ekonomi negara turut terjejas apabila berbilion ringgit aset tidak dapat dimanfaatkan.

Lebih membimbangkan, semakin lama sesuatu pusaka tidak ditadbir, semakin ramai waris yang akan terlibat. Ada kes yang akhirnya melibatkan cucu, cicit malah generasi berikutnya. Apa yang pada asalnya hanya melibatkan dua atau tiga orang waris akhirnya menjadi pertikaian antara puluhan individu.

Semua ini sebenarnya boleh dielakkan.

Perancangan harta bukan bermaksud menafikan hak waris. Sebaliknya, ia memastikan hak tersebut dapat disampaikan dengan lebih cepat, tersusun dan mengikut kehendak undang-undang. Menyediakan wasiat, melaksanakan hibah bagi aset yang sesuai, melantik wasi atau pentadbir yang berkelayakan serta menyimpan rekod aset dengan baik merupakan antara langkah yang boleh diambil. Bagi sesetengah keluarga, pelantikan syarikat amanah profesional juga mampu mengurangkan risiko kelewatan dan pertikaian pada masa hadapan.

Kematian adalah satu kepastian yang tidak dapat dielakkan. Namun, sama ada harta yang ditinggalkan menjadi rahmat atau menjadi punca perbalahan, itu adalah pilihan yang boleh ditentukan sejak hari ini.

Legasi sebenar bukan sekadar berapa banyak harta yang berjaya dikumpulkan sepanjang hayat, tetapi sejauh mana kita memastikan harta itu dapat memberi manfaat kepada insan yang paling kita sayangi apabila kita sudah tiada.

 

About the Author: Firdaus Ali Mokhtar 

Firdaus Ali Mokhtar is the Chief Operating Officer of Palladium Trustee Berhad and a certified professional trainer, with experience in estate planning, trust administration, wealth preservation, and legacy planning. In his role, he is involved in overseeing trustee operations and supporting the delivery of practical estate planning solutions. With a strong commitment to professional development and knowledge-sharing, Firdaus is passionate about helping individuals better understand the importance of protecting their wealth and securing their legacy for future generations.

About the Author: Firdaus Ali Mokhtar
Firdaus Ali Mokhtar is the Chief Operating Officer of Palladium Trustee Berhad and a certified professional trainer, with experience in estate planning, trust administration, wealth preservation, and legacy planning. In his role, he is involved in overseeing trustee operations and supporting the delivery of practical estate planning solutions. With a strong commitment to professional development and knowledge-sharing, Firdaus is passionate about helping individuals better understand the importance of protecting their wealth and securing their legacy for future generations.
Resolving Inheritance Disagreements Without Battling In Court: A Collaborative Approach for Malaysian Families