PERANAN NAFKAH DALAM MEMELIHARA KEHARMONIAN RUMAH TANGGA
PERANAN NAFKAH DALAM MEMELIHARA KEHARMONIAN RUMAH TANGGA
Isu nafkah bukanlah satu isu yang asing bagi masyarakat Muslim di Malaysia. Baru-baru ini, isu nafkah semakin hangat menjadi perbualan orang ramai berikutan peningkatan jumlah kes penceraian terutamanya yang melibatkan para penggiat seni.
Walaubagaimanapun, adakah masyarakat Muslim di negara ini betul-betul faham dan cakna tentang konsep nafkah?
Istilah nafkah merujuk kepada kewajipan seorang suami untuk menyediakan perbelanjaan atau keperluan hidup kepada isteri dan anak-anaknya, termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal, dan keperluan asas yang lain. Konsep ini juga sering kali dikaitkan dengan tanggungjawab seseorang dalam menanggung perbelanjaan ahli keluarga yang di bawah jagaannya.
Isu nafkah sering timbul terutamanya dalam situasi di mana wanita atau isteri merupakan seorang yang bekerjaya atau mempunyai sumber pendapatan yang lebih tinggi berbanding suaminya. Hal ini sekaligus menyebabkan berlakunya pergaduhan sesama pasangan dan akhirnya berakhir dengan perceraian.
Dengan ini, boleh dilihat dengan jelas bahawa, masyarakat Muslim kini masih belum cakna dengan konsep nafkah.
Berdasarkan satu dapatan daripada laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berkenaan dengan penetapan kadar nafkah, para ulama telah bersepakat bahawa nafkah yang wajib diberikan oleh seorang suami adalah keperluan asas termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal, perkakas dapur dan rumah, alat kebersihan diri dan juga pembantu rumah (bagi suami yang mampu). Hal ini juga sejajar dengan pendapat Imam Khatib al-Syirbini dalam karyanya.
Justeru, ia dapat dilihat dengan jelas bahawa ulama tidak mewajibkan suami memberikan wang saku kepada isteri jika keperluan asasnya telah dipenuhi dengan baik. Di samping itu, nafkah diberikan berdasarkan kemampuan suami, sama ada dia kaya, berkemampuan sederhana, atau fakir, dan harus mengikut kadar yang ditentukan oleh uruf atau adat masyarakat setempat.
Maka dengan itu, bagi mengelakkan perselisihan faham daripada berlaku, setiap pasangan suami isteri haruslah membuat perancangan yang teliti dan adil berkenaan dengan nafkah supaya tiada individu yang diprejudiskan pada masa akan datang . Antara cara yang boleh diaplikasikan adalah termasuk:
Buat Perancangan Kewangan
● Bajet Bulanan: Rancang bajet bulanan untuk memastikan keperluan asas seperti makanan, pakaian, pendidikan anak-anak, dan perumahan dipenuhi. Pisahkan pendapatan untuk kategori seperti keperluan rumah tangga, simpanan, dan perbelanjaan luar jangka.
● Tentukan Keutamaan: Pastikan keperluan asas dipenuhi sebelum berbelanja untuk perkara lain yang tidak mendesak.
Tentukan Jumlah Nafkah yang Sesuai
● Mengikut Kemampuan: Nafkah perlu diberikan mengikut kemampuan suami. Jika pendapatan terbatas, nafkah boleh diberikan dalam kadar yang sesuai, namun tetap mencukupi untuk keperluan asas.
● Sesuai dengan Tuntutan Syariat: Kadar nafkah seharusnya memenuhi keperluan isteri dan anak-anak dengan sewajarnya, seperti yang ditetapkan
dalam ajaran Islam.
Simpanan dan Tabung Kecemasan
● Simpan untuk Masa Depan: Pastikan sebahagian pendapatan disimpan untuk masa depan, terutama untuk keperluan anak-anak, pendidikan, atau perbelanjaan kecemasan.
● Tabung Kecemasan: Wujudkan tabung kecemasan untuk menampung sebarang situasi yang tidak dijangka, seperti kos rawatan perubatan atau
kecemasan keluarga.
Berkomunikasi dengan Pasangan
● Terbuka Mengenai Keperluan: Suami dan isteri harus berbincang secara terbuka mengenai keperluan harian, perbelanjaan keluarga, dan sebarang cabaran kewangan. Ini boleh membantu suami memahami dengan lebih baik tanggungjawab nafkah yang perlu dipenuhi.
● Berunding Mengenai Perbelanjaan: Pastikan keputusan kewangan dibuat secara bersama untuk mengelakkan salah faham dan ketidakpuasan.
Pelaburan dan Pendidikan Kewangan
● Melabur dengan Bijak: Jika ada lebihan dari perbelanjaan nafkah, pertimbangkan untuk melabur dalam instrumen kewangan yang selamat untuk mengembangkan simpanan.
● Pendidikan Kewangan: Mempelajari tentang pengurusan kewangan atau menghadiri kursus kewangan keluarga boleh membantu mengurus nafkah dengan lebih cekap.
Secara konklusinya, dengan perancangan yang baik, komunikasi terbuka, dan pengurusan kewangan yang bijak, nafkah dapat diurus dengan berkesan untuk menjamin keharmonian dan kebahagiaan keluarga.